Selasa, 24 Disember 2013

10 Kesilapan Yang Orang Biasa Lakukan Semasa Menetapkan Matlamat (Goal-Setting)



Oleh Michael Hyatt:

Jika anda sepertiku, anda sudahpun memikirkan tentang tahun hadapan. Bagaimanakah ianya akan berbeza dari tahun ini? Apakah yang mungkin terjadi? Apakah yang aku ingin capai?

Sudah tiba waktunya untuk memikirkan dan menetapkan matlamat (goal-setting) untuk 2014.

Aku tidak tahu mengenai anda, tetapi aku telah melakukan amalan tahunan ini sejak semester keduaku di kolej, apabila seorang kawan memperkenalkan konsep itu kepadaku. Hampir serta-merta, aku suka konsepnya dan melihat potensinya.

Tetapi aku tidak selalu melakukannya dengan baik. Aku membuat banyak kesilapan dalam perjalananku. Aku juga melihat ramai orang yang melakukannya dengan tidak berkesan.

Berikut ialah sepuluh kesilapan paling kerap yang aku lihat orang biasa lakukan apabila membuat penetapan matlamat (goal-setting):

1. Mereka tidak menuliskannya. Sekiranya sesuatu matlamat itu tidak dituliskan, ianya hanya sekadar hasrat - tidak bernyawa dan tidak memiliki kuasa. Sekali anda menuliskannya, anda memulakan sesuatu proses. Anda telah menjelaskan apa yang anda ingin dan mula menumpukan bagaimana untuk mencapainya. 

2. Mereka meletakkan terlalu banyak matlamat. Perumpamaan Cina mengatakan, "Orang yang mengejar dua arnab tidak akan mendapat apa-apa." Anda kemungkinan perlu lebih daripada satu matlamat, tetapi anda perlu dapat memberi fokus kepada jumlah matlamat yang boleh diurus. Aku mengesyorkan jangan lebih daripada 7-10. 

3. Mereka hanya menetapkan matlamat untuk satu aspek kehidupan. Kebanyakan orang terbiasa dengan idea menetapkan matlamat kerjaya. Tetapi kehidupan itu jauh melebihi kerjaya anda. Jika anda ingin bahagia dan mencapai kepuasan hidup, anda perlu matlamat dalam setiap aspek utama dalam hidup - rohani, jasmani, rumahtangga, perhubungan dan sebagainya. 

4. Mereka tidak membuat matlamat yang khusus. Kebanyakan matlamat - termasuk juga matlamat bertulis - gagal kerana bersifat terlalu umum. "Aku mahu menulis buku" atau "Aku inginkan rumahtangga yang lebih baik" adalah terlalu umum. Apakah buku yang anda ingin tulis? Bagaimanakah anda ingin memperbaiki lagi rumahtangga anda?

5. Mereka tidak membuat matlamat yang boleh diukur. Satu-satu cara untuk tahu bahawa anda telah mencapai sesuatu matlamat ialah meletakkan suatu angka kepadanya. "Kurangkan berat sebanyak 10 kilogram" lebih baik daripada "kurangkan berat." "Menjana pendapatan 10% lebih daripada tahun sebelumnya" lebih baik daripada "menjana lebih pendapatan." Apabila kurang pasti, letakkan suatu angka ataupun suatu peratusan.

6. Mereka tidak meletakkan suatu tarikh lupus. Seringkali perkara yang penting selalu dikorbankan untuk melakukan perkara yang memerlukan perhatian segera. Meletakkan tarikh lupus ialah caranya untuk menjadikan matlamat itu sesuatu yang memerlukan perhatian segera, dan memaksa kita memberi perhatian kepada hal-hal yang penting. Tanpa tarikh lupus, tidak ada tekanan untuk melakukan sesuatu perkara. Dan menjadi mudah untuk terus menangguhkan sesuatu. 

7. Mereka tidak selalu meletakkan matlamat di depan mata mereka. Berapa kalikah anda pernah menuliskan satu senarai matlamat dan tidak pernah lagi melihatnya? Aku telah melakukan seperti itu banyak kali. Itulah sebabnya anda perlukan suatu perancangan untuk terus meletakkan matlamat dalam penglihatan anda, samada dengan menilainya secara harian, secara mingguan ataupun tempoh berkala yang lain.

8. Mereka tidak keluar daripada zon nyaman mereka. Matlamat yang selamat adalah matlamat yang membosankan. Jika kita tidak meletakkan matlamat di luar zon nyaman kita, kita tidak akan cukup tercabar untuk terus mengikutinya dan mencapainya.  Matlamat itu harus realistik, tetapi juga harus mencabar.

9. Merka tidak menyatakan mengapa ianya penting untuk diri mereka. Apabila kita mengejar matlamat yang bererti, ianya akan amat mengujakan. Apalagi bila kita mencapainya. Tetapi "pertengahan jalan" itulah yang selalu menjadi kesukaran bagi kebanyakan kita. Itulah sebabnya kita perlu menulis satu senarai motivasi untuk setiap matlamat untuk mengenalpasti mengapa ianya penting dan apakah akibatnya.

10. Mereka tidak mengenalpasti tindakan seterusnya. Anda tidak memerlukan pelan tindakan yang sangat terperinci untuk setiap matlamat. (Seringkali ini boleh menjadi cara hebat yang membuat kita menangguhkan.) Tetapi anda perlu mengenalpasti tindakan selanjutnya, supaya anda boleh memulakan dan mengekalkan momentum.

Kemungkinan besar, anda akan dapat melalui 2014, dengan satu atau lain cara. Ianya boleh menjadi tahun seperti tahun ini ataupun tahun sebelumnya. Atau ianya boleh menjadi sesuatu yang berbeza... sesuatu yang luar biasa... sesuatu yang menakjubkan! Pilihan terletak di tangan anda. 

Soalan: Yang manakah daripada kesilapan-kesilapan ini yang anda pernah lakukan dalam menetapkan matlamat (goal-setting)? Anda boleh tinggalkan ulasan dengan klik di kotak ulasan di bawah.

(Diterjemah daripada artikel Michael Hyatt bertajuk "The 10 Biggest Misakes People Make in Setting Goals")


Tiada ulasan:

Catat Ulasan