Isnin, 17 Jun 2013

10 Ciri-Ciri Pemimpin-Pemimpin Yang Mampu Bertahan

Chuck Lawless
Oleh Chuck Lawless:

Sebagai seorang profesor Sekolah Alkitab, aku sentiasa melayani di kalangan pemimipin-pemimpin muda. Mereka memiliki semangat, visi, tenaga dan azam. Mereka mengerti kepentingan keadilan sosial dan penginjilan global. Dalam kedua-dua dunia kegerejaan dan perniagaan, aku bertemu dengan ramai pemimpin muda yang memberiku harapan akan masa depan.

Begitupun, aku telah belajar paling banyak daripada pemimpin-pemimpin yang telah menjadi pemimpin untuk jangka panjang. Secara jujur, aku telah melihat ramai pemimpin muda kehilangan integriti mereka dan mengorbankan pengaruh kepemimpinan mereka. Terlalu ramai yang bermula dengan baik tetapi tidak berakhir dengan baik.

Itulah sebabnya aku suka sekali berbual-bual dengan pemimpin-pemimpin yang telah memimpin untuk bertahun-tahun, mahupun berdekad-dekad. 

Diakui bahawa yang berikut adalah daripada pemerhatian secara umum, tetapi inilah sepuluh ciri-ciri yang telah kupelajari daripada pemimpin-pemimpin jangka panjang.

1. Mereka bermula dengan tekad untuk berakhir dengan baik. Aku belum lagi bertemu dengan seorang pemimpin yang telah secara kebetulan memimpin dengan baik melalui peredaran masa. Sebaliknya mereka telah telah membuat keputusan dari awal bahawa mereka akan berlumba dalam perlumbaan dengan matlamat mencapai garis akhir. Mereka mewujudkan sempadan-sempadan yang bersesuaian untuk menjaga integriti mereka, dan mereka sentiasa memacu diri untuk terus maju.

2. Mereka sentiasa memiliki visi yang lebih besar daripada diri mereka. Tidak mengira usia mereka, pemimpin-pemimpin ini tidak berpuas hati dengan sekadar mengurus apa yang mereka sudah kecapi. Visi mereka sungguh besar - di luar kemampuan manusia, tetapi tidak luar daripada kemampuan dan pertolongan Tuhan - bererti bahawa mereka tidak bersantai selalu apabila banyak hal lagi yang perlu dicapai. Begitu juga mereka tidak mahu gagal secara moral atau etika, kerana mereka menyedari betapa pentingnya tugasan mereka.  

3. Mereka menjaga diri mereka secara rohani. Aku tahu perkara ini sudah lazim diperkatakan, tetapi ianya memang hal yang penting. Pemimpin-pemimpin ini mengerti bahawa apa yang mereka lakukan di sebalik pandangan umum adalah sangat penting. Mereka membaca Firman, berdoa, belajar, beribadah, bersekutu - mereka memimpin daripada kelimpahan hubungan mereka dengan Tuhan.

4. Mereka menjaga diri mereka secara jasmani. Perkara ini juga nampak ketara tetapi ternyata penting. Pemimpin-pemimpin jangka panjang ini makan dengan baik, bersenam selalu, dan tidur dengan baik. Mereka tidak dapat mengelakkan daripada kesan usia yang meningkat, tetapi mereka tidak menyumbang kepada kesihatan yang buruk dengan membuat pilihan-pilihan yang buruk. Aku mengaku perlu lebih banyak memperbaiki diri dalam perkara ini. 

5. Mereka mengambil berat keluarga mereka. Pengalamanku menunjukkan satu corak yang sama: pemimpin-pemimpin yang bertahan lama adalah adalah suami-isteri dan ibubapa yang baik. Mereka bekerja kuat dalam pekerjaan mereka, tetapi tidak sampai mengabaikan keluarga mereka. Sesungguhnya perhubungan kekeluargaan menyebabkan mereka tidak lupa diri, dan tidak ada apapun yang mereka peroleh melalui pekerjaan berbaloi jika merosakkan keluarga mereka.

6. Mereka melayani orang dengan baik. Pendik kata, pemimpin-pemimpin ini ialah orang-orang yang berbudi pekerti. Mereka menghormati orang-orang lain, termasuk orang-orang yang tidak bersetuju dengan mereka. Mereka jarang-jarang berkelakuan tidak sopan dan tidak sabar. Sejarah hubungan baik yang mereka bina selama bertahun-tahun sepanjang kepimpinan mereka menjadikan mereka orang-orang yang dipercayai dan diterima.

7. Mereka berkongsi beban kerja. Pemimpin-pemimpin ini mengagihkan tugas dengan baik tanpa melalaikan tanggungjawab mereka untuk memimpin melalui pengaruh dan penyampaian visi. Mereka telah belajar bahawa kegagalan berkongsi bukan sahaja meletihkan, tetapi juga merupakan suatu kesombongan. Ianya sebenarnya merupakan suatu pemujaan diri.

8. Mereka tidak mengizinkan kekecewaan menguasai. Bukan bererti mereka tidak pernah merasa kecewa, cuma mereka tidak bergelumang dalam perasaan itu. Mereka menghadapi nyala api konflik sebelumnya ianya menjadi keadaan yang menjilat hangus. Mereka tidak suka kegagalan, tetapi mereka tahu bahawa kegagalan sering bukan kesudahan ceritanya. Mereka mempunyai rakan-rakan pertanggunganjawab (accountability partners) yang diberi izin mencabar mereka kadang-kadang sewaktu perasaan mereka lemah.

9. Mereka mempunyai kawan-kawan yang sejati. Mungkin mereka tidak memiliki ramai kawan tetapi mereka mempunyai kawan-kawan yang sejati. Oleh kerana mereka memiliki kawan-kawan, pemimpin-pemimpin ini tahu bahawa mereka mempunyai sistem sokongan. Walau apapun cabaran kepimpinan yang mereka hadapi, mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian.

10. Mereka telah belajar untuk tertawa. Sebahagian daripada pemimpin-pemimpin terbaik jangka panjang yang kukenali adalah juga mereka yang paling mudah tertawa. Ada waktunya mereka sangat serius namun tidak menganggap diri terlalu penting. Mereka boleh membuat pengikut-pengikut mereka merasa selesa  sementara mereka menyampaikan visi yang berkuasa mengubah kehidupan.

Aku bersyukur atas apa yang telah kupelajari daripada pemimpin-pemimpin yang bertahan lama. Berikan kami pandanganmu supaya pemimpin-pemimpin muda hari ini akan terus menjadi pemimpin-pemimpin yang kuat untuk bertahun-tahun seterusnya.

(Diterjemahkan daripada artikel laman Tom Rainer bertajuk "Ten Characteristics of Leaders Who Last" penulisan Dr. Chuck Lawless bertarikh 11 Jun 2013)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan