Jumaat, 14 Jun 2013

Menjadi Gembala Untuk Satu Orang?

Gembala dengan dombanya
Pada tahun itu akupun masuk melayani sepenuh masa di gereja. Itupun dengan restu Pastor Jeremiah, gembala sidangku. Beliau menasihatiku supaya memasuki Sekolah Alkitab untuk memperlengkapi diri bagi pelayanan.

Aku memohon dan diterima sebagai pelajar baru di Sekolah Alkitab, lalu mengikuti kem tahunan yang diadakan di Cameron Highlands. Aku tidak menyangka bahawa di kem itu, aku akan melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan.


Semasa kebaktian pagi di kem itu, aku duduk di baris belakang sekali dengan keluargaku. Maklumlah, aku pelajar baru dan masih belum kenal kebanyakan pelajar lain. Selepas pemimpin pujian membawa kami dalam beberapa lagu, kamipun memasuki masa penyembahan. Semua pelajar-pelajar masing-masing berdoa dan menyembah Tuhan. Akupun tidak ketinggalan.

Tiba-tiba, tanpa disangka, Tuhanpun berbicara ke dalam hatiku, "Mahukah engkau menjadi gembala bagi-Ku kalau hanya untuk satu orang?"

Aku terkejut mendengar soalan itu. Dalam fikiranku, "Pasti sekali setiap pastor ingin melihat gerejanya bertambah ramai orangnya, dan bukan hanya seorang. Lagipun aku baru saja meninggalkan pekerjaan dengan gaji lumayan untuk melayani sepenuh masa di gereja. Masakan Tuhan mahu aku memberi pengorbanan begitu banyak hanya untuk melayani satu orang?"

Sementara aku memikirkan semuanya itu, tiba-tiba aku teringat - Tuhan Yesus sedang menunggu jawapanku kepada soalan-Nya.... Akhirnya secara perlahan aku menjawab, "Tuhan, aku mahu jadi gembala bagi-Mu kalau hanya untuk satu orang." Aku menangis kerana hatiku terharu atas panggilan Tuhan yang agung bagiku untuk menjadi gembala biarpun hanya untuk seorang. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan