Thom Rainer |
Hampir setiap kali aku menyebut mengenai jumlah angka berkaitan dengan gereja, aku sudah bersedia menerima reaksi mengenai nilai angka dan sidang gereja. Dalam tahun 1980an, perbincangan seperti ini terutamanya datang daripada gereja-gereja liberal yang tidak mengalami pertumbuhan. Sebahagian daripada pemimpin-pemimpin ini merasakan bahawa pengurangan dalam keahlian dan kehadiran ada kemungkinannya petanda gereja yang sihat. Ahli-ahli yang benar-benar mengambil berat tentang gereja adalah mereka yang masih ada di gereja. Mereka yang boleh membawa perbezaan yang paling besar dengan ketiadaan ahli-ahli yang tidak komited sebagai penghalang.
Pada hari ini, tidak menjadi pelik untukku mendengar daripada pemimpin-pemimpin gereja yang lebih konservatif bahawa pengurangan dalam jumlah kehadiran gereja mungkin petanda baik kerana bilangan itu menunjukkan ahli-ahli yang benar-benar telah dilahirkan kembali. Tetapi untuk tujuan artikel pendik ini, marilah kita mengandaikan bahawa pertambahan dalam kehadiran gereja adalah petanda yang positif. Andaiannya ialah lebih ramai orang akan mendengar Injil dan dimuridkan apabila sesebuah gereja bertumbuh.
Dalam konteks seperti itulah aku telah menerima panggilan hampir setiap minggu daripada pemimpin-pemimpin dari gereja-gereja yang kehadirannya seperti tersekat pada tahap tertentu: 100, 200, 500, 800 dan seterusnya. Sehinggakan aku menerima panggilan setahun yang lalu daripada sebuah gereja di mana pastornya menjadi bimbang kehadiran gereja sepertinya tersekat pada angka 7,000!
Setelah 25 tahun dalam konsultasi dan penyelidikan akan gereja-gereja setempat, aku telah menemukan empat pendekatan yang sering digunakan oleh gereja-gereja untuk memecahkan sekatan pada tahap kehadiran tidak mengira saiznya. Tentu sekali ada lebih daripada empat kemungkinan ini, tetapi izinkanlah aku menilai empat pendekatan yang lebih kerap digunakan.
1. MEMULAKAN KELOMPOK-KELOMPOK BARU
Kelompok-kelompok ini mungkin kelompok-kelompok rumah, kelompok-kelompok kecil yang bertemu di kedai-kedai kopi, kelas-kelas Sekolah Minggu, kelompok-kelompok pelayanan, dan lain-lain lagi. Pemimpin-pemimpin gereja memiliki rencana untuk memulakan kelompok-kelompok secara berterusan. Biasanya mereka mempunyai matlamat mengenai bilangan kelompok yang mereka ingin mulakan.
Penilaian: secara jujur, aku telah melihat kejayaan besar dengan strategi ini. Aku menjangka sebanyak lapan daripada sepuluh gereja yang memulakan kelompok-kelompok secara strategik bertumbuh ke tahap-tahap kehadiran yang baru. Yang membuatku hairan ialah kenapa kebanyakan gereja tidak mempunyai strategi ini.
2. MEMULAKAN KEBAKTIAN-KEBAKTIAN IBADAH BARU
Sesebuah gereja beralih dari satu kebaktian kepada dua, atau dari dua kepada tiga, atau lebih lagi. Langkah itu selalunya disebabkan daripada satu atau lebih kebaktian mengalami kesesakan ruang.
Penilaian: Kebanyakan masanya kebaktian baru itu akan membantu gereja menembus halangan kepada tahap kehadiran. Tetapi perlu diingat, bahawa gereja itu kemungkinan besar sudahpun dalam keadaan bertumbuh sehingga ianya kesesakan ruang. Kebaktian baru itu cuma membuka ruang untuk gereja itu terus bertumbuh. Tetapi aku akan menasihati gereja yang bukan dalam keadaan bertumbuh daripada membuka kebaktian yang baru. Dewan ibadah itu akan kelihatan lenggang jika satu kelompok yang tidak bertumbuh dipecahkan kepada dua kelompok yang tidak bertumbuh.
3. MEMULAKAN LOKASI BARU
Prinsip ini serupa dengan menambah kebaktian baru, tetapi gereja menggunakan dewan lain untuk kebaktian baru itu. Dewan itu mungkin di bangunan baru di kawasan lain. Ia juga mungkin kebaktian suku bangsa dalam bangunan gereja yang sama di bilik yang lain daripada dewan ibadah. Ianya mungkin dari dua gereja yang telah disatukan di lokasi yang lain. Kemungkinannya banyak.
Penilaian: Hasil yang didapati setakat ini adalah positif. Apabila sebuah gereja menambah lokasinya, secara semulajadi keahlian akan bertambah. Bentuk baru gereja pelbagai lokasi ini semakin popular dan semakin kerap digunakan dengan kebanyakannya menunjukkan hasil yang baik. Kita masih perlu beberapa tahun lagi sebelum dapat menilai kesan jangka pertengahan lokasi-lokasi baru terhadap pertumbuhan. Aku berani meramal bahawa hasilnya akan sangat positif.
4. MENGADAKAN ACARA BESAR-BESARAN
Strategi gereja ialah untuk mengadakan satu atau lebih acara yang akan menjana cukup keterujaan bagi ahli-ahli menjemput mereka yang tidak menghadiri gereja. Acara itu mungkin berkaitan dengan cuti umum yang utama seperti Hari Kebangkitan Yesus, Hari Kemerdekaan dan Krismas. Ianya mungkin berkaitan dengan tradisi yang penting dalam gereja. Rencananya ialah untuk menarik orang-orang yang biasanya tidak ke gereja untuk menghadiri gereja.
Penilaian: Aku telah mengkaji beratus-ratus gereja yang menggunakan acara besar-besaran sebagai strategi utama pertumbuhan, dan hasilnya tidak baik. Kehadiran biasanya meningkat untuk beberapa minggu pada dan selepas acara tersebut, tetapi kemudiannya akan kembali kepada tahap kehadiran sebelumnya. Gereja-gereja boleh menghabiskan banyak wang untuk acara-acara besar, tetapi aku jarang-jarang sekali melihat sebuah gereja memecah sekatan pada tahap kehadirannya secara konsisten, meskipun dengan begitu banyak sumber dilaburkan.
Apakah pendekatan-pendekatan yang anda tahu yang dapat memecahkan sekatan pada tahap kehadiran? Apakah pandangan anda mengenai pendekatan-pendekatan yang telah kusebutkan? Mengapakah gereja-gereja tidak memulakan kelompok baru dengan lebih kerap dan strategik sedangkan ianya sudah terbukti kaedah paling berkesan untuk pertumbuhan dan memecahkan sekatan pada tahap kehadiran?
(Thom S. Rainer ialah presiden dan Ketua Eksekutif Lifeway Christian Resources. Dia adalah dekan pengasas Billy Graham School of Missions, Evangelism and Church Growth di The Southern Baptist Theological Seminary. Di antara buku-bukunya termasuklah Surprising Insights from the Unchurched, The Unexpected Journey, and Breakout Churches)
(Diterjemah daripada artikel laman Thom Rainer bertajuk "Four Ways Churches Break Attendance Barriers" bertarikh 19 Jun 2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan