Sabtu, 16 Mei 2015

7 Cara Untuk Mengesan Guru-Guru Palsu




Oleh John Upchurch:

Seorang guru yang palsu tidak akan memberitathu anda bahawa dia sedang mengajar ajaran sesat. Sebenarnya, dia biasanya akan kelihatan dan kedengarannya begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh sehingga anda tidak sedar bahawa dia sedang memutarbelitkan Firman Tuhan. Bilangan pendengar di kelilingnya juga tidak menjadi petanda, sebab ramai orang yang telah dan masih disesatkan oleh ajaran-ajaran yang sedap didengar.

Nabi Yeremia telah memberitahu umat Israel berulang-ulangkali apa yang Tuhan rencanakan untuk Yerusalem, menggesa mereka untuk berpaling daripada jalan mereka yang jahat. Tetapi umat lebih gemar mendengarkan nabi-nabi palsu yang memberitahu mereka apa yang mereka ingin dengar. Kita perlu pastikan bahawa kita tidak melakukan hal yang sama.

Jadi, bagaimana sebenarnya kita dapat mengesan samada seseorang itu adalah "serigala yang menyamar sebagai domba"? Anda jadilah seorang "pemeriksa buah". seperti yang Yesus katakan (Matius 7:15-16). Menurut Pastor Shane Idleman dari Westside Christian Fellowship terdapat tujuh petanda yang boleh mengelakkan kita daripada diperdaya. 

1. Sumber yang Berbeza

Guru-guru yang benar akan selalu akan menggunakan Alkitab pertama, kedua dan selalu. Mereka mungkin menggunakan sumber maklumat yang lain untuk menerangkan apa yang diajarkan oleh Alkitab, tetapi dasar pengajaran mereka sentiasa dibina di atas "Demikianlah Firman Tuhan...." Jika anda mula mendengar lebih dari sumber-sumber lain selain Firman Tuhan, anda mungkin perlu melepaskan diri. 

2. Mesej yang Berbeza

Keseluruhan mesej seorang guru yang benar akan sentiasa berpusatkan injil Yesus Kristus. Guru-guru yang palsu mungkin akan menyebut nama Yesus sekali-sekala, tetapi mereka akhirnya menyangkal keilahian dan kuasa-Nya (2 Petrus 2:1). Tentu saja mereka tidak akan melakukannya secara terbuka pada mulanya dan anda perlu mendengar dengan berhati-hati samada Yesus adalah teras mesej mereka. 

3. Kedudukan yang Berbeza

Guru-guru yang benar akan menyatakan dosa kita dan keperluan kita untuk diselamatkan - dan hidup mereka akan membuktikannya. Guru-guru palsu akan menjanjikan kebebasan, tetapi mereka sendiri adalah "hamba-hamba kebinasaan" (2 Petrus 2:19). Jika gaya hidup seseorang guru membawa anda ke arah keinginan nafsu, ketamakan, kecemburuan dan keinginan lain yang menguasai, mereka pastinya tidak layak untuk mengajar.

4. Karakter yang Berbeza

Mereka yang benar-benar mengikuti Yesus akan mengejar buah Roh (Galatia 5:22-23). Mereka tidaklah sempurna, tetapi mereka akan berusaha dengan segenap kekuatan yang diberikan Tuhan untuk menjadi lebih seperti Kristus. Guru-guru yang palsu, sebaliknya menjalani kehidupan yang penuh keangkuhan. Dan itu membawa kepada kehancuran (Amsal 16:18)

5. Pendekatan yang Berbeza

Apakah yang dikatakan oleh guru itu mengenai tujuan dari pengajaran mereka? Adakah mereka menyatakan Firman sebagai sebab kesungguhan mereka untuk mengkhabarkan Injil? Adakah mereka ingin anda mempercayai apa yang Tuhan katakan mengenai bagaimana kita boleh diselamatkan daripada murka Allah (Roma 5:9)? Guru-guru palsu akan mendasarkan pengajaran mereka pada keinginan duniawi, memimpin orang kembali keada dosa (2 Petrus 2:18). Mereka akan menggesa anda untuk menfokus kepada perkara-perkara dunia ini. 

6. Buah yang Berbeza

Selalu periksa hasil dalam kehidupan mereka yang mengikuti pengajaran seorang guru. Mereka yang mempelajari daripada guru-guru yang benar akan bertumbuh dalam pengenalan mereka mengenai Yesus (2 Petrus 3:18). Mereka yang mempelajari dari seorang guru palsu akan menjadi seperti "mata air yang kering" (2 Petrus 2:17). Dalam perkataan lain, mungkin apa yang mereka katakan kedengarannya hebat, tetapi mereka tidak menghasilkan apa pun yang mempunyai nilai kekekalan. 

7. Kesudahan yang Berbeza

Inilah bahagian yang harus menyedarkan kita dan memberi perhatian kepada hal ini. Ini perkara yang sangat penting. Guru-guru palsu memimpin orang ke arah kebinasaan (2 Petrus 2:1). Yesus akan memberitahu mereka bahawa Dia tidak pernah kenal mereka (Matius 7:21-23). Mereka yang mempelajari daripada guru-guru benar Injil akan menerima hidup berkelimpahan sekarang dan selamanya (Roma 5:17).

Dalam sebuah artikel yang popular di Crosswalk.com, Pastor Tom Hicks menunjukkan perbezaan di antara pengikut-pengikut Kristus yang benar dan orang-orang yang munafik. Ianya mungkin sukar untuk membezakannya, tetapi dia telah memberi 10 hal untuk diperhatikan. 

"2. Kehidupan yang berubah dalam seorang pengikut Kristus datang dari hati yang mengasihi Kristus. Orang-orang yang munafik akan mengubah perlakuan luar mereka untuk dilihat oleh manusia, atau untuk melegakan rasa bersalah mereka, atau untuk menjauhkan diri mereka daripada akibat dosa-dosa mereka. Tetapi pengikut-pengikut yang benar mengasihi Kristus dan memegang perintah-Nya oleh kerana Tuhan, untuk melayani-Nya, mengenali-Nya dan membawa kemuliaan kepada nama-Nya (Mazmur 119:6). 

Sekarang giliran anda pula. Apakah petanda yang anda cari untuk mengesan seorang guru palsu? Apakah yang gereja boleh lakukan untuk menjauhi nabi-nabi dan gembala-gembala palsu? 


(Diterjemah daripada artikel Crosswalk bertajuk "7 Sure-Fire Ways To Recognize False Teachers" penulisan John UpChurch bertarikh 15 Mei 2015)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan