Isnin, 3 Ogos 2015

Tiga Hubungan Yang Orang Kristian Perlukan


Oleh J. Lee Grady:

Apabila Yesus memulakan pelayanannya, Dia tidak menyewa dewan besar untuk kempen penginjilan, memulakan senarai pos, atau meletakkan papan iklan di seluruh Yerusalem untuk mengumumkan playanan penyembuhan-Nya. Tidak, perkara pertama yang Dia lakukan ialah mengumpulkan sekumpulan pengikut yang erat dengan-Nya.

Dia memanggil mereka kawan-kawan-Nya.

Markus 3:14 menyatakan bahawa Dia telah memilih dua belas pengikut "untuk menyertai Dia dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil." Perhatikan bahawa hubungan-Nya dengan mereka bukan hanyalah berkenaan tugas-tugas pelayanan. Dia bukan hanya memanggil pengikut-pengikut untuk melaksanakan tugas. Dia bukan seorang penyelia yang menggaji pekerja upahan. Dia inginkan persekutuan dengan mereka terlebih dahulu - dan kemudian Dia akan izinkan mereka beritakan apa yang mereka pelajari daripadanya. 

Yesus mengutamakan hubungan. Dan Dia secara khusus memberitahu pengikut-pengikut-Nya bahawa Dia tidak inginkan hubungan ini berdasarkan prestasi. Dia berkata, "Aku tidak menyebut kamu lagi hamba ... tetapi Aku menyebut kamu sahabat, kerana Aku telah memberitahukan kepada kamu segala sesuatu yang telah Kudengar dari Bapa-Ku" (Yohanes 15:15).

Dalam banyak bahagian gereja kita telah lupa mengenai keperluan asasi untuk persekutuan dan berusaha membina gereja tanpanya. Kita telah membina satu model gereja yang tidak sihat yang berpacukan acara dan menumpukan kepada selebriti daripada perhubungan yang tulen.

Kita membina bangunan yang berbentuk seperti pawagam di mana orang ramai datang untuk mendengar seorang berucap. Orang ramai akan dengan cepat diiring keluar daripada dewan untuk memberi ruang untuk kumpulan yang seterusnya. Ramai daripada orang-orang itu tidak berinteraksi dengan orang lain mengenai apa yang mereka pelajari, tidak pernah mengikuti kelompok kecil, dan tidak pernah menerima sebarang bentuk pemuridan satu-dengan-satu. 

Oleh kerana kita kekurangan hubungan hari ini, kita telah cuba mengisi kekosongan itu dengan teknologi. Kita fikir jika kita dapat mencipta suasana menawan dengan klip video yang menarik, khutbah berbentuk 3-D, dan kumpulan muzik yang mengasyikkan, orang ramai akan menginginkan lebih lagi. Aku tidak berfikir begitu. Terlalu mengikut trend boleh membuat kita menjadi orang-orang yang cetek.

Saya sudah cukup dengan keagamaan yang tidak sihat seperti ini. Saya telah menyedari bahawa pelayanan bukanlah mengenai mendapatkan khalayak ramai, mengisikan tempat-tempat duduk, mengira kad-kad respon atau mendapatkan tepukan bergemuruh. Ianya bukan mengenai mengikut rentak pertumbuhan gereja seperti orang lain. Keagamaan yang menumpukan kepada luaran tidak dapat menghasilnya kehidupan. Jika iman kita tidak mengalir keluar daripada hubungan dengan Tuhan, dan membawa kepada hubungan yang erat dengan orang-orang lain, ianya adalah sesuatu yang jauh dari mencerminkan Kekristianan Perjanjian Baru. 

Adakah anda perlu membina hubungan yang lebih erat? Saya memberitahu orang-orang Kristian dari seluruh dunia bahawa mereka perlukan tiga jenis hubungan dalam hidup mereka, di samping hubungan keluarga:

1. "Paulus-Paulus" adalah bapa-bapa dan ibu-ibu rohani yang anda percayai. Kesemua kita perlukan orang-orang Kristian yang lebih tua dan lebih bijak yang boleh membimbing kita, berdoa untuk kita dan memberikan kita nasihat. Mentor-mentor saya telah mendorong saya ketika saya hampir putus asa, dan memacukan saya ke depan ketika saya terlupa akan janji-janji Tuhan. Dalam perjalanan iman, anda tidak perlu berjalan seorang diri. Tuhan memberi Rut seorang Naomi, Yosua seorang Musa, dan Ester seorang Mordekai. Anda boleh memohon kepada Tuhan untuk seorang mentor untuk membantu membimbing dan melatih anda.

2. "Barnabas-Barnabas" adalah rakan-rakan rohani sebaya, yang merupakan kawan sangat erat dan karib. Mereka sungguh mengenali anda, namun tetap mengasihi anda. Mereka juga rela untuk memperbetulkan anda, dengan terus-terang sekiranya perlu! Mereka dapat membantu mengawasi kita daripada terjebak dalam godaan. Mereka siap mendengar keluhan dan menjadi sokongan di waktu kesedihan. Dan mereka akan bercekang mata sepanjang malam berdoa untuk anda apabila anda menghadapi krisis.

Setiap orang harus mengalami faedah daripada Amsal 18:24, "tetapi ada juga sahabat yang lebih karib dari pada seorang saudara." Tetapi anda tidak boleh mendapat kawan-kawan yang setia tanpa terlebih dahulu menjadi seperti itu. Jangan tunggu Barnabas untuk datang kepada anda, pergilah untuk mencarnya. 

3. "Timotius-Timotius" adalah orang-orang Kristian yang lebih muda yang anda bantu untuk bertumbuh. Yesus tidak pernah memberitahu kita untuk membuat kerumunan ramai, tetapi Dia telah memerintahkan kepada kita untuk menjadikan murid. Perhubungan pemuridan memerlukan banyak masa dan tenaga, tetapi memberi hidup anda kepada orang lain adalah salah satu pengalaman paling membawa kepuasan dalam hidup. Apabila anda menabur hidup anda ke dalam seorang saudara atau saudari dan menyaksikan mereka menjadi matang dalam Kristus, anda tidak akan ingin lagi Kekristianan yang cetek. 

Seperti Paulus, kita mesti keluar mencari Timotius-Timotius kita. Kita mesti mencurahkan kepada mereka secara peribadi. Ianya bukan mengenai berkhutbah kepada mereka; mereka menginginkan hubungan yang tulen dengan kita. Mereka inginkan ibu-ibu dan bapa-bapa rohani yang boleh didekati, yang boleh menerima, meneguhkan dan memberi kepercayaan kepada mereka. Jika kita tidak mentor mereka sekarang, tidak akan ada orang yang akan berlari di samping kita apabila kita ingin menyampaikan baton kita kelak.

Kehidupan Kristian adalah satu hubungan kasih dan mesra dengan Tuhan - tetapi ianya tidak berakhir di situ. Saya berdoa anda akan membuka hati anda dan melabur dalam kehidupan orang-orang di sekitar anda. 

(Diterjemah daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "Three Relationships Every Christian Needs" penulisan J. Lee Grady bertarikh 29 Julai 2015)


Tiada ulasan:

Catat Komen