Isnin, 9 Mac 2015

4 Prinsip Pelayanan Billy Graham

Reverend Billy Graham

Kemungkinan tiada tokoh penting gereja untuk 50 tahun yang lepas yang begitu dikagumi dan dihormati oleh kedua-dua dunia Kristian dan bukan Kristian seperti Rev. Billy Graham. Walaupun dia juga mengalami sebilangan kritikan dalam tempoh itu, namun tidak ada skandal yang menggoncang pelayanannya - biarpun pelayanannya telah diperhatikan dengan teliti sekali. 

Salah satu sebab utama Reverend Billy Graham dan rakan-rakan sepelayanannya telah mengelak permasalahan dan skandal boleh dikesan kembali ke November 1948, dan apa yang terjadi di sebuah bilik hotel di Modesto California. Di situlah Manifesto Modesto telah dirumuskan.


Dari kiri: Cliff  Barrows, Billy Graham dan Bev Shea di satu acara

Graham dan rakan-rakannya, Bev Shea, Grady Wilson, dan Cliff Barrows, baru saja mula terlibat dalam kebaktian-kebaktian penginjilan. Pada waktu itu, ramai penginjil yang bergerak merentas daerah dan negeri di seluruh negara. Dan sebilangan daripada mereka terjebak ke dalam skandal - secara moral, etika dan kewangan. Dengan kerinduan untuk memastikan pelayanan mereka terus bebas daripada skandal, empat pemuda itu bertemu untuk berbincang tentang masalah-masalah yang dihadapi para penginjil. Mereka mengemukakan empat masalah yang perlu dielakkan dan cara-cara untuk mengelakkannya. 

1. Kewangan

Adalah amalan biasa di kalangan para penginjil untuk memberikan perhatian dan penekanan dalam pungutan pemberian kasih. Amalan itu boleh mengundang kritikan yang tidak diperlukan - dan juga godaaan. Pemuda-pemuda itu berikrar tidak akan memberi tumpuan kepada pemberian kasih. Untuk mengelakkan kritikan, mereka akan selalu membiarkan jawatankuasa kempen tempatan untuk menyelia pungutan pemberian kasih dan mengatur perbelanjaan dari tabung kewangan - mereka akan menerima gaji yang tetap tanpa mengira berapa banyak pemberian kasih yang dipungut. 


Billy Graham mengadakan pelajaran Alkitab harian
dengan keluarga di rumah pada tahun 1957

2. Kejatuhan Moral

Pemimpin-pemimpin agama terutama mereka yang selalu bergerak dari satu tempat ke tempat lain, kerap kali boleh terjatuh ke dalam godaan ini. Empat pemuda itu bersetuju untuk sentiasa berdoa kepada Tuhan untuk melindungi mereka daripada bahaya ini. Mereka juga telah menetapkan beberapa peraturan untuk diikuti. Mereka tidak akan mengizinkan diri mereka untuk bersendirian dengan wanita - semasa makan tengahari, dalam sesi kaunseling, atau dalam kenderaan ke auditorium ataupun lapangan terbang. Dan mereka akan selalu menempah bilik hotel mereka berdekatan satu dengan lain sebagai satu langkah berjaga-jaga. 


Billy Graham dan rakan-rakannya berlutut dan berdoa  (14 Julai 1950)
(Dari kiri: Cliff Barrows, Jerry Beaver, Billy Graham dan Grady Wilson)

3. Ketidakjujuran

Empat pemuda itu juga ingin mengelak daripada amalan melaporkan jumlah yang telah ditokok tambah mengenai bilangan orang yang mengikuti rapat umum dan bilangan orang yang telah diselamatkan. Mereka hanya akan menyebut tentang jumlah bilangan sekiranya pihak polis, bomba atau pengurus tapak acara yang melaporkannya. 

4. Kritikan 

Kerap kali ada penginjil yang mengkritik pastor-pastor dan gereja-gereja tempatan dari mimbar. Empat pemuda itu berikrar tidak akan melakukan ini, dan mereka juga tidak akan mengkritik pastor-pastor yang telah secara terbuka mengkritik mereka.  

(Discipleship Journal, Bilangan 84, Nov/Dis 1994, mukasurat 45)  

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel "Modesto Manifesto" daripada laman web LIFEhouse church)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan