Rabu, 31 Julai 2013

7 Cara Iblis Cuba Menghancurkan Gereja

Konfiik gereja adalah satu cara Iblis cuba menghancurkan gereja

Oleh Ron Edmondson

Aku bukanlah seorang pastor yang sentiasa mencari Iblis di sebalik segala sesuatu yang tidak menjadi. Aku menumpukan perhatianku kepada Yesus dan mendorong orang lain untuk mengikut Yesus dan tidak menfokus kepada musuh yang telah kalah.

Namun begitu, aku sedar bahawa Iblis sangat suka menghancurkan, atau berusaha untuk menghancurkan - gereja. Tentu sekali Iblis itu makhluk yang terbatas, dan gereja Tuhan itu dalam kedudukan yang teguh. Kuasa dari neraka tidak akan dapat mengatasi apa yang Tuhan telah mulakan, tetapi Iblis suka sekali mengganggu apa yang gereja Tuhan lakukan: "Sadarlah dan berjaga-jagalah! Lawanmu, si Iblis, berjalan keliling sama seperti singa yang mengaum-aum dan mencari orang yang dapat ditelannya" (1 Petrus 5:8).

Berikut 7 cara Iblis cuba menghancurkan gereja:

1. Konflik Gereja. Iblis suka perjalanan mesyuarat yang terkeluar kawalan atau apabila dua anggota gereja memiliki ketidaksefahaman di luar gereja. Dia suka apabila angota-anggota gereja berselisih mengenai hal-hal yang kecil, seperti warna karpet, atau perkara besar, seperti samada untuk menambahkan satu lagi kebaktian. Itu tak penting baginya. Selagi ada potensi untuk pertelingkahan, dia sedia untuk mengapi-apikan keadaan.

2. Terlampau Penat. Iblis suka membuat seorang sukarelawan, kakitangan gereja atau pastor terlampau penat. Jika dia boleh membuat mereka merasa bahawa mereka tidak diperlukan, bahawa kerja mereka tidak dihargai atau mereka tidak dapat tawarkan apa-apa khidmat lagi, dia akan rasa bahawa dia sudah menang sebahagian daripada pertempuran.

3. Khabar Angin. Iblis ialah pencetus perselisihan. Dia suka menyemai bibit kisah yang mengasyikkan mengenai seseorang di gereja atau di masyarakat - kadang-kadang termasuk pastor dan kakitangan gereja - dan menyaksikannya tersebar dengan cepat di kalangan jemaat gereja atau masyarakat. Kisahnya tentunya akan menjadi lebih besar daripada kenyataan. Iblis pun suka begitu.

4. Kesibukan. Iblis suka mengalih tumpuan ahli-ahli gereja dengan bermacam-macam aktiviti yang membawa sedikit hasil dalam membangun kerajaan Tuhan. 

5. Tipu Daya. Iblis cuba menyelitkan apa yang digelarnya sebagai "separuh kebenaran" - dengan hanya sekilas doktrin sesat - dan kemudian melihatnya mengganggu atau memecah-belahkan tubuh. Tentu sekali kita tahu bahawa separuh kebenaran itu sebenarnya satu penipuan yang telah dihias cantik, tetapi Iblis cukup pintar untuk menyembunyikan tipu dayanya dengan cara guru-guru palsu dapat menyelit masuk dan membawa kemusnahan sebelum mereka dikesan.

6. Skandal. Iblis suka melihat berita gosip yang enak keluar sebagai tajuk berita di akhbar tempatan. Jika ianya dapat memecah-belahkan atau menghancurkan gereja, semakin dia suka. Jika ianya dapat memusnahkan panggilan dan pekerjaan seseorang untuk Kerajaan Tuhan, dia juga akan suka.

7. Gangguan dalam Rumahtangga dan Keluarga. Iblis suka menghancurkan mana-mana perhubungan, tetapi dia juga selalu berusaha menghancurkan rumahtangga pemimpin-pemimpin yang utama - termasuklah pastor. Dia suka menggalakkan anak-anak yang pemboros. Dia ingin keluarga-keluarga untuk bertengkar di dalam gereja dan dengan gereja. Iblis tahu bahawa jika dia dapat menghancurkan keluarga, dia akan mempunyai lebih peluang untuk menghancurkan gereja.


Tetapi syukurlah, ada berita baik: "Kamu berasal dari Allah, anak-anakku, dan kamu telah mengalahkan nabi-nabi palsu itu; sebab Roh yang ada di dalam kamu, lebih besar dari pada roh yang ada di dalam dunia" (1 Yohanes 4:4)

Apakah cara-cara lain yang anda pernah lihat Iblis cuba menghancurkan gereja?


Ron Edmondson
Ron Edmondson ialah pastor di Immanuel Baptist Church di Lexington, Kentucky di Amerika Syarikat. Dia juga adalah konsultan kepimpinan gereja yang memiliki minat terhadap perintisan gereja, membantu gereja-gereja yang sudah tertubuh untuk terus berkembang, membantu para pastor dan mereka dalam kepimpinan untuk memikir lebih jelas mengenai kepimpinan, strategi dan kehidupan. Sebelum pelayanan, Ron telah memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perniagaan, kebanyakanya sebagai pemilik perniagaan sendiri.


(Diterjemah daripada artikel laman Ministry Today bertajuk "7 Ways Satan Tries to Destroy a Church" penulisan Ron Edmondson)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan