Rabu, 12 Februari 2014

7 Sebab Mengapa Ahli-Ahli Gereja Yang Sangat Aktif Keciciran Dari Gereja

Ahli-ahli yang dulunya aktif boleh keciciran
dari gereja (Gambar Christian Post)

Oleh Thom Rainer:

Mungkin gambaran yang kebanyakan kita ada mengenai orang-orang yang keciciran dari gereja ialah seseorang yang sedikit sahaja melibatkan diri dari mulanya. Dia kurang berhubungan dengan orang dan pelayanan di gereja, jadi orang itu menjadi seseorang yang keciciran - dia berhenti mengikuti gereja sama sekali. 

Tetapi ada sebilangan orang yang telah aktif dalam gereja untuk bertahun-tahun. Mereka pernah memegang jawatan kepimpinan yang penting. Mereka boleh dianggap di antara ahli-ahli gereja yang paling setia. Dan kemudian mereka lenyap. Kadang-kadang ianya secara mendadak, dalam beberapa keadaan ianya secara beransur-ansur.

Dalam lebih 25 tahun sebagai perunding gereja, saya pernah menemubual sebilangan orang yang seperti ini yang dari aktif menjadi tidak aktif. Kebanyakan mereka berkongsi dengan saya secara terbuka apa yang berlaku dalam hidup mereka, dan bagaimana itu membawa kesan kepada keputusan akhirnya untuk berhenti mengikuti gereja. 

Walaupun tentunya terdapat jauh lebih banyak sebab-sebabnya, saya telah menyenaraikan tujuh sebab paling utama yang telah saya dengar daripada orang-orang yang dulunya aktif. Buat masa ini, saya tidak akan memberi analisa mendalam mengenai keputusan mereka. Tujuh sebab-sebab ini saya senaraikan mengikut kekerapan yang saya dengar. 

1. Kegagalan Moral. Senario yang paling kerap ialah apabila berlaku hubungan seks di luar nikah. Ahli yang dulunya dihormati menjadi sangat segan dan malu, begitu sekali sehingga dia tidak dapat berhadapan dengan ahli-ahli dan kawan-kawan di gereja.

2. Keciciran Dari Kelompok Kecil. Ahli gereja itu berhenti mengikuti kelompok kecil atau kelompok pengajian Alkitab. Dalam keadaan ini, hampir-hampir boleh dikatakan secara pasti, tanpa penjagaan dan persekutuan yang ada dalam kelompok kecil, orang itu sedang menuju ke arah keciciran gereja sepenuhnya. 

3. Terlalu kepenatan (burnout). Ahli gereja itu diminta membantu dalam banyak hal kerana dia melaksanakan segala perkara dengan penuh dedikasi dan kesetiaan. Tetapi sebilangan daripada ahli-ahli yang sangat aktif ini tidak tahu bagaimana untuk menolak permintaan. Mereka menjadi terlalu kepenatan (burnout) dan meninggalkan gereja sepenuhnya.

4. Peristiwa yang penuh trauma. Kehilangan orang yang tersayang dan kepedihan yang serupa boleh menyebabkan ramai ahli-ahli gereja untuk bersandar lebih lagi kepada orang-orang seiman. Tetapi ada sebilangan yang mempunyai reaksi yang sebaliknya dan meninggalkan persekutuan. 

5. Keciciran daripada pelayanan. Apabila hubungan dan rujukan utama seseorang ahli itu dengan gereja ialah sesuatu pelayanan tertentu. Jika dia berhenti dari pelayanan itu (atau dalam beberapa kes, dia diminta berhenti), seringkali mereka akan merasakan bahawa tidak ada sebab lagi untuk mereka terus berada di gereja itu.   

6. Konflik besar dalam perhubungan sesama. Ahli-ahli yang hanya di pinggiran akan mengundur diri apabila terdapat tanda-tanda konflik kecil dalam perhubungan. Ahli-ahli yang sangat aktif, lebih teguh, kerana mengerti bahawa tiada ahli gereja yang sempurna. Tetapi apabila hubungan menjadi parah, sebilangan ahli-ahli yang aktif juga akan meninggalkan gereja. 

7. Pengunduran yang beransur-ansur. Kebanyakan masanya seorang ahli yang sangat aktif akan berundur secara mendadak. Tetapi dalam beberapa keadaan, mereka secara beransur-ansur berundur daripada penglibatan di gereja. Orang-orang yang keciciran seperti ini sukar menjelaskan kepada saya mengapa mereka meninggalkan gereja, atau mengapa mereka secara beransur-ansur berundur daripada penglibatan. Seperti yang dikatakan seorang wanita kepada saya, "Ianya seperti aku bangun pada suatu pagi, dan mendapati aku sudah tidak lagi terlibat dengan gereja."

Sedihnya, keciciran gereja terlalu sering berlaku. Tetapi sebahagian daripada orang-orang yang tercicir ini pernah menjadi ahli-ahli yang paling setia di gereja. 

(Diterjemah daripada artikel The Christian Post bertajuk "7 Reasons Very Active Church Members Drop Out" penulisan Thom Rainer bertarikh 9 Februari 2014)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan