Rabu, 19 Oktober 2016

7 Tanda Amaran Bagi Pastor-Pastor & Staf Gereja Mengenai Hubungan Sulit

Oleh Thom Rainer:

Perbualan itu selalunya menyedihkan, selalunya tragik. Pastor yang meninggalkan gerejanya selepas hubungan sulit selama dua tahun dengan seorang anggota gereja. Pastor pelatih yang telah terkeluar daripada pelayanan panggilannya sejak dia terlibat dalam hubungan yang singkat dengan pembantunya. 

Saya telah berbual dengan ramai lelaki dan wanita yang seperti ini. Dan setiap kali saya diingatkan bagaimana saya perlu mengasihi Tuhan dengan segenap hati saya, dan untuk berdedikasi sepenuhnya kepada isteri saya. 

Walaupun perbualan-perbualan itu adalah sedih dan tragik, saya mempelajari daripadanya. Dan selepas berpuluh-puluh, mungkin beberapa ratus, perbualan seperti itu, saya melihat adanya pola-pola tertentu. Pola-pola itu menjadi tanda-tanda amaran untuk sesiapapun di antara kita, agar kita tidak begitu leka memikirkan bahawa kita tidak ada kelemahan. 

Oleh kerana perbualan-perbualan itu adaalah secara tidak formal, saya tidak dapat katakan dengan pasti yang manakah di antara mereka adalah tanda-tanda amaran yang paling kerap. Oleh itu saya telah menyenaraikannya tanpa susunan tertentu. 

1. "Saya telah mengabaikan keluarga saya." Pelayanan gereja boleh menjadi "perempuan simpanan" yang memperdayakan. Kita menjadi terlalu tertumpu kepada pelayanan sehingga kita mengabaikan keluarga kita. Tetapi 1 Tim 3:5 jelas menyatakan bahawa keluarga adalah pelayanan utama kita. 

2. "Saya tidak ada sistem pertanggunganjawab." Malangnya, kebanyakan gereja tidak ada garis panduan yang jelas untuk pertanggunganjawab. Itu tidak memberi sesiapa pun di antara kita alasan dari memastikan bahawa kita memiliki garis panduan yang dibentuk sendiri, dan bahawa pasangan kita mengetahui mengenainya juga.   

3. "Ianya bermula dari kaunseling." Kadangkala perkataan "pemindah-alihan" (transferance) disebut untuk menerangkan apa yang boleh berlaku semasa kaunseling. Kaunselor atau orang yang diberi kaunseling menjadi objek tarikan dan bukannya pasangan sendiri. Salah satu atau kedua-dua pihak dalam kaunseling melihat pihak yang satu lagi memiliki nilai yang seharusnya ada pada pasangannya. 

4. "Saya dan rakan sekerja mula berkongsi dengan satu sama lain pada tahap yang lebih mendalam." Perbualan di antara dua orang yang kerja bersama bertukar menjadi perbualan yang seharusnya terhad kepada hubungan perkahwinan. Pada tahap ini, perhubungan emosi sudah pun bermula. Keintiman fizikal biasanya akan terjadi tidak lama lagi. 

5. "Saya mula mengabaikan masa dalam doa dan bacaan Alkitab secara harian." Saya tidak begitu suka membuat kenyataan yang terlalu umum, tetapi saya tidak pernah bertemu dengan seorang yang berdoa dan membaca Alkitabnya secara harian yang terlibat dalam perhubungan sulit. Berdoa dan masa dalam Firman adalah keintiman dengan Tuhan yang akan menghindarkan keintiman yang tidak sepatutnya dengan seseorang yang berbeza jantina.

6. "Dia menyebabkan saya merasa begitu baik mengenai diri saya." Dalam pernikahan, tiada mana-mana pihak yang memikirkan bahawa pasangannya sempurna; paling tidak ianya jarang-jarang terjadi. Bahaya terjadi apabila seseorang itu menjadi wira kepada seseorang yang berlainan jantina. Rasa enak yang datang daripada pujian atau pun kekaguman boleh menjadi tarikan dan jerat seksual yang berakhir dengan perhubungan sulit.

7. "Ianya bermula semasa lawatan bersama." Apabila seorang lelaki dan seorang wanita mengambil perjalanan ke destinasi yang sama untuk acara kerja, konferensi atau pun persidangan, langkah-langkah berjaga-jaga perlulah dirangka dari awal-awal lagi. Suatu sistem pertanggungjawab, samada yang formal atau tidak formal, boleh tak terkendali apabila seorang lelaki dan seorang wanita pergi ke bandar lain bersama-sama. Anda mungkin akan menggelar saya berfikiran kolot, tapi saya tak akan menaiki kereta bersendirian dengan seorang wanita yang bukan isteri saya (walau pun dalam usia tua saya).

Perbualan itu selalunya sedih, selalunya tragik. Dan tahukah anda tema yang paling biasa saya dengar dalam semua perbualan-perbualan itu?

"Saya tak pernah sangka ianya akan berlaku kepada saya."

Sungguh menginsafkan.


(Diterjemah daripada artikel Church Leaders bertajuk, "Seven Warning Signs of Affairs for Pastors and Other Church Staff" yang ditulis oleh Thom Rainer bertarikh 29 Januari 2014)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan