Khamis, 8 Ogos 2013

7 Cara Untuk Melatih Pemimpin-Pemimpin Muda


Oleh Ron Edmondson:

Aku sering berbual dengan pastor-pastor dan pemimpin-pemimpin yang seumur dan lebih tua daripadaku yang ingin melihat generasi baru pemimpin-pemimpin, tetapi samada mereka tidak tahu bagaimana ataupun tidak dapat mencari mereka. Secara terus-terang sebilangan pastor-pastor yang berbual denganku merasa kecewa dengan apa yang mereka lihat sebagai kurangnya kepimpinan di kalangan generasi-generasi baru.

Aku sering ditanya bagaimana kami dapat mencari begitu banyak pemimpin muda yang berbakat di Grace Community Church. Banyak daripada pekerjaan yang Tuhan lakukan di kalangan kami telah dilakukan melalui usaha kepimpinan orang-orang yang 10, 15, dan 20 tahun lebih muda daripadaku. Aku bukan lagi orang paling tua di kalangan kakitangan gereja, tetapi aku pastinya di luar lingkungan purata umur mereka. 

Berikut 7 cara untuk melatih pemimpin-pemimpin muda:

Beri mereka kesempatan - Kelihatan mudah, tetapi sebenarnya tidak. Ramai pemimpin takut untuk menyerahkan tanggungjawab yang sebenar kepada pemimpin yang separuh usia mereka. Aku mengerti, sebab aku telah melakukan kesilapan-kesilapan besar sebagai pemimpin muda, tetapi pada waktu yang sama, itulah caranya aku telah belajar. Pemimpin-pemimpin muda inginkan autoriti dan peranan dalam kepimpinan sekarang, bukan bila mereka mencapai usia tertentu. Adakah ini berisiko? Tentu saja, tetapi ianya memiliki potensi untuk keajaiban berlaku. 

Kongsikan pengalaman anda - Pemimpin-pemimpin muda terbuka hati untuk mempelajari daripada kejayaan dan kegagalan pemimpin yang matang. Mereka gemar mendengar cerita mengenai cara-cara yang berkesan dan yang tidak berkesan. Itu sebenarnya salah satu kelebihan generasi-generasi baru. Pemimpin-pemimpin muda dalam pasukanku sering menanyaku tentang pengalaman peribadiku. Mereka masih ingin diberi kesempatan belajar sendiri, tetapi mereka siap untuk mempelajari daripada hikmat orang-orang yang terdahulu daripada mereka, terutamanya dalam konteks perhubungan.

Izinkan kegagalan - Manusia dalam setiap peringkat umur akan melakukan kesilapan dalam kepimpinan, tidak mengira berapa tahun pengalaman mereka. Untuk sebab tertentu perkara ini seperti lebih diperbesarkan untuk pemimpin-pemimpin muda, itulah satu sebab mengapa pemimpin-pemimpin lebih tua kadang-kadang mengelak daripada mereka. Suasana yang menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada proses pertumbuhan, akan menggalakkan pemimpin-pemimpin muda untuk mencuba, mengambil risiko kegagalan dan menjana kemungkinan penemuan baru yang hebat.

Terbukalah kepada perubahan - Kemungkinan besar, pemimpin-pemimpin muda akan melaksanakan sesuatu dengan cara yang berlainan daripada pemimpin-pemimpin lebih tua. Mereka inginkan waktu yang lebih fleksibel, suasana kerja yang berbeza, dan kesempatan bekerja sebagai satu pasukan. Mungkin anda rasa tidak biasa pada mulanya, tetapi biarkanlah proses mereka berjalan dan anda akan lebih berpeluang melihat perkembangan kepimpinan terjadi.

Letakkan jangkaan yang tinggi - Menggunakan cara kerja yang berbeza tidak bererti merendahkan jangkaan untuk mutu atau prestasi kerja. Pemimpin-pemimpin yang lebih muda ini, mengikut pengalamanku, bukannya hanya ingin bersuka-suka tetapi mereka ingin melakukan peranan mereka. Beri mereka tanggungjawab untuk mencapai sasaran dan matlamat yang dikenalpasti jelas. Beri penghargaan untuk kerja baik yang mereka lakukan dan dorong mereka untuk terus-menerus meningkatkan prestasi. Itu adalah sebahagian daripada proses pertumbuhan mereka.

Berikan dorongan - Pemimpin-pemimpin muda memerlukan maklum balas. Mereka sepertinya ingin tahu mengenai kemajuan mereka lebih kerap daripada yang diberikan oleh sistem penilaian tahunan yang lama. Mereka ingin mendapatkan perkenan daripada pemimpin-pemimpin senior dan pertubuhan gereja. Teruskan mendorong mereka dan mereka akan terus meningkatkan pencapaian mereka.

Berikan maklum balas yang membina - Sekali lagi, pemimpin-pemimpin muda kelihatan lebih berminat untuk mengetahui samada mereka telah menepati jangkaan pemimpin-pemimpin senior, oleh itu akuilah keadaan ini dengan membantu mereka belajar sambil mereka bertumbuh. Jangan hanya kongsikan maklum balas "bagus" atau "tidak bagus." Sebaliknya dengan matlamat membantu mereka bertumbuh sebagai pemimpin, beri mereka penilaian yang jelas dan membina mengenai prestasi mereka. Bantu mereka bukan hanya untuk memahami apa yang mereka lakukan itu betul atau salah, tetapi cara-cara praktikal bagaimana mereka boleh semakin maju dalam apa yang mereka lakukan dan  dalam keupayaan kepimpinan mereka.

Melatih pemimpin-pemimpin muda adalah amat penting untuk mengekalkan pertumbuhan gereja-gereja dan organisasi-organisasi yang sihat. Kita mesti secara sengaja dan tekun melabur dalam generasi akan datang, memahami perbezaan mereka, dan bekerja di dalam budaya mereka untuk menumbuhkan pemimpin-pemimpin baru.


Ron Edmondson
Ron Edmondson ialah pastor di Immanuel Baptist Church di Lexington, Kentucky, dan perintis dua gereja. Dia juga adalah konsultan kepimpinan gereja yang memiliki minat terhadap perintisan gereja, membantu gereja-gereja yang sudah tertubuh untuk terus berkembang, membantu para pastor dan mereka dalam kepimpinan untuk memikir lebih jelas mengenai kepimpinan, strategi dan kehidupan. Sebelum pelayanan, Ron telah memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perniagaan, kebanyakanya sebagai pemilik perniagaan sendiri.


(Diterjemah daripada artikel laman Ron Edmondson bertajuk "7 Ways to Raise up Young Leaders" penulisan Ron Edmondson bertarikh 14 Mac 2012)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan