Khamis, 3 April 2014

7 Sebab Mengapa Kita Tidak Menjadikan Murid



Oleh J. Lee Grady:

Lima tahun yang lalu, aku menghadapi harijadi yang menakutkan dengan sifar di dalamnya. Aku takut berusia 50 tahun kerana angka itu kedengarannya begitu tua! Tetapi aku memilih untuk menerima kenyataan. Aku juga membuat keputusan untuk menghabiskan hidupku yang selebihnya melabur dalam generasi akan datang sebab aku percaya bahawa pemuridan adalah denyut nadi Injil. 

Tuhan mula membawakan pemuda-pemuda ke dalam hidupku, dan ramai daripada mereka menanya samada aku boleh mementorkan mereka. Aku mula membawa sebahagian daripada mereka ke lawatan misi. Yang lain-lain pula mula memanggilku untuk mendapat kauseling atau bimbingan. Ada sebahagian yang memerlukan doa untuk mengatasi tabiat atau ketagihan. Semakin aku melabur dalam hidup mereka, semakin aku teruja untuk menolong orang-orang Kristian yang lain untuk bertumbuh dalam iman mereka. 

Hari ini, mementorkan anak-anak muda adalah perkara yang paling memuaskan hatiku. Aku suka berkhutbah di khalayak orang ramai, tetapi jika aku perlu memilih di antara berkhutbah di kalangan seribu orang atau berbicara dengan sekumpulan kecil pemimpin muda yang penuh kerinduan rohani, aku akan mengambil pilihan kedua setiap kali. Itu adalah kerana pemuridan secara perhubungan rapat adalah berasal daripada Yesus dan merupakan rahsia pelayanan Perjanjian Baru. 

Hari ini, aku percaya Roh Kudus sedang memimpin gereja kembali kepada model Perjanjian Baru ini. Para pemimpin dan anggota gereja sudah penat dengan pendekatan yang tidak bersifat peribadi, yang menumpukan kepada pencapaian, dengan jemaat yang menerima sambil duduk di bangku. Kita sudah penat dengan keadaan itu. Kita tidak dipanggil untuk memberi hiburan kepada para hadirin - kita diberi amanat untuk melatih seangkatan tentera. 

Kita semua tahu bahawa Yesus menghabiskan sebahagian besar daripada pelayanan-Nya melabur dalam sekumpulan kecil pengikut yang kemudiannya melabur dalam orang-orang lain. Jadi kenapakah kita tidak menggunakan pendekatan itu? Berikut adalah tujuh sebab yang jelas:

1. Kita kurang mengerti Amanat Agung. Ketika Yesus sudah hampir meninggalkan bumi, Dia telah memberikan kita arahan terakhirnya dalam Matius 28:19. Dia tidak katakan, "Pergi dapatkan para hadirin yang ramai," atau "Pergi beritakan Injil kepada kumpulan orang ramai" atau "Pergi binalah gereja-gereja." Tentunya tidak salah untuk memiliki bangunan, menyampaikan khutbah yang baik, atau mengadakan penginjilan besar-besaran, tetapi Yesus menyatakan dengan jelas bahawa keutamaan kita adalah pemuridan melalui perhubungan rapat: "Pergi jadikan murid." Jika Dia menghabiskan 3 1/2 tahun melabur dalam beberapa orang pengikut, kenapakah kita fikir bahawa kita boleh melakukannya dengan cara lain?

2. Kita sendiri tidak pernah dimuridkan. Ramai pastor yang mengaku kepadaku bahawa diri mereka tidak pernah mempunyai mentor. Sekolah-sekolah Alkitab dan seminari mengajar teologi dan methodologi, tetapi hamba-hamba Tuhan tidak dapat dihasilkan secara banyak seperti pengeluaran kilang. Hamba-hamba Tuhan dibina secara manusiawi. Para doktor di negara ini perlu menjalani program bimbingan khusus (internship) di bawah doktor berpengalaman, tetapi jarang sekali pemimpin-pemimpin Kristian menerima bimbingan khusus daripada mentor yang prihatin. Paulus memberitahu jemaat di Korintus, "Aku telah menjadi bapamu oleh Injil (1 Kor 4:15), tetapi konsep ini telah menjadi asing hari ini kerana budaya kita yang tidak berbapa yang memainkan peranannya juga terjadi dalam gereja. 

3. Kita lebih suka kepada program daripada perhubungan. Apabila Yesus memanggil murid-murid-Nya, Dia menetapkan mereka "untuk menyertai Dia dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil (Markus 3:14). Keinginan Yesus yang pertama ialah perhubungan, tugas pelayanan adalah perkara yang kedua. Hari ini kita telah menterbalikkannya - fokus kita adalah pada tugas pelayanan, dan kepentingan perhubungan sudah dikurangkan. Seorang pastor baru-baru ini memberitahuku bahawa dalam denominasinya, pelayanan telah menjadi apa yang digelarkannya sebagai "ABC of Attendance, Buildings and Cash" (mengenai Kehadiran, Bangunan dan Kewangan). Apabila pelayanan bertukar menjadi bisnes, anda tahu bahawa anda telah meninggalkan pemuridan yang sejati. 

4. Kita terlalu tertarik dengan saiz. Keturunan Nuh telah membina Menara Babel kerana mereka ingin membina tugu untuk diri mereka. Ini adalah kecenderungan kedagingan manusia. Kita suka hal-hal yang besar. Kita suka mendapat perhatian umum. Tetapi Tuhan datang dan mengacau-bilaukan orang-orang yang membina Menara Babel (lihat Kejadian 11) sebab Dia ingin mereka membina ke arah luar dan bukan ke arah atas. Kita suka penambahan manakala Tuhan suka penglipatgandaan!

Dawson Trotman, pengasas pertubuhan Navigators, komited kepada konsep pemuridan kerana dia tahu bahawa jika dia boleh melabur dalam sekumpulan kecil orang Kristian sehingga mereka menjadi matang, mereka akan kemudiannya melabur dalam orang-orang lain, dan kesan chain effect (rangkaian yang berterusan) akan menyebabkan terjadi penglibatgandaan. Jika empat orang memuridkan empat orang dalam tempoh enam bulan, kata Trotman, dan orang-orang itu memuridkan lagi empat orang dalam enam bulan, ini akan menghasilkan 1,024 murid selepas lima tahun. Dan selepas 16 tahun, akan terjadinya lebih daripada 2 bilion murid! Jika kita melakukannya dengan cara Tuhan, kita akan dapat menjangkau dunia!

5. Kita kurang sabar untuk menjalani prosesnya. Tidak ada sesuatu yang glamor atau sensasi tentang pemuridan. Menghabiskan tiga tahun untuk memimpin sebuah kumpulan kecil kelihatannya tidak hebat. Itulah yang telah dilakukan oleh Yesus - namun begitu salah seorang murid yang paling rapat dengan-Nya, Petrus, telah menyangkal Dia. Selepas Petrus dipulihkan, dia menyampaikan khutbah pertamanya pada hari Pentakosta dan meletakkan dasar gereja Perjanjian Baru. Anda mungkin rasa kecewa kerana pertumbuhan murid-murid anda yang sangat perlahan. Tetapi anda tidak akan tahu impak yang akan dilakukan oleh murid-murid anda pada akhirnya.

6. Kehancuran peribadi kita menghalang kita daripada menyembuhkan orang lain. Proses pemuridan melibatkan penyembuhan jiwa kita daripada luka-luka lama. Kita tidak boleh menjadi matang dalam Kristus jika kita masih terikat dengan tabiat-tabiat dosa. Namun begitu ramai orang Kristian yang masih tersekat di tahap kanak-kanak rohani sebab mereka tidak melalui langkah perlu proses penyembuhan supaya mereka boleh berjalan dalam kekudusan. Anda tidak akan dapat bawa orang lain kepada kematangan rohani jika anda tidak mempelajari mengatasi kehancuran anda. 

7. Kita ingin ahli-ahli gereja untuk terus tidak matang. Apabila anak-anak sudah besar, mereka meninggalkan rumah, mereka berkahwin dan memulakan rumahtangga mereka sendiri. Itu adalah rancangan Tuhan sejak Dia memberitahu Adam dan Hawa untuk "beranakcuculah dan bertambah banyak" (Kejadian 1:28). Yesus mengulangi amanat itu kepada murid-murid-Nya apabila Dia mengatakan,"Dalam hal inilah Bapa-Ku dipermuliakan, yaitu jika kamu berbuah banyak dan dengan demikian kamu adalah murid-murid-Ku" (Yohanes 15:8). Murid-murid yang sebenar akan menghasilkan murid-murid. Mereka tidak hanya duduk di bangku tahun demi tahun sebagai penonton. 

Sebilangan pastor yang tidak menyakini diri, tidak mahu anggota-anggota jemaat mereka untuk bertumbuh sebab mereka rasa terancam oleh pengikut-pengikut yang matang. Mereka takut ada orang yang akan merampas pelayanan mereka. Itu gila! Aku mahu supaya anak-anak rohaniku untuk mengatasiku dalam berbuah rohani. Marilah kita mengekang kesombongan kita dan kembali kepada keutamaan pemuridan. 

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk "7 Reasons We Don't Make Disciples" penulsan J. Lee Grady bertarikh 2 April 2014)


Tiada ulasan:

Catat Komen