Sabtu, 31 Ogos 2013

10 Hal Yang Anda Boleh Lakukan Hari Ini Untuk Memajukan Diri Sebagai Pemimpin


Ron Edmondson
Oleh Ron Edmondson;

Baca Alkitab - Alkitab ialah sumber yang sangat baik untuk memperkembangkan kepimpinan. Yesus ialah Pemimpin yang Ulung. Dan terdapat juga banyak contoh-contoh lain lelaki dan perempuan yang, tidak seperti Yesus, adalah orang-orang berdosa seperti anda dan aku. Tentu sekali, ianya adalah sumber bagi dasar kehidupanku, tetapi sekalipun anda bukan seorang pengikut Kristus, anda boleh belajar daripada pemimpin-pemimpin dalam Alkitab. Alkitab juga tidak menyepi mengenai kekurangan-kekurangan yang terdapat pada setiap pemimpin, jadi anda boleh mempelajari daripada pemimpin-pemimpin yang bangkit dari kegagalan. 

Baca sebuah buku mengenai kepimpinan - Terdapat banyak buku-buku perihal kepimpinan yang anda boleh pilih, tetapi jika anda tidak tahu di mana untuk bermula, pilihlah buku penulisan John Maxwell. Mana-mana saja buku penulisannya. Pilihan yang selamat setiap kali. 

Cari seorang mentor - Mentor-mentor yang terbaik dalam hidupku ialah orang-orang yang kukagumi yang telah kujemput untuk berbicara ke dalam hidupku. Mereka ialah pastor-pastor, pemimpin-pemimpin perniagaan dan ahli-ahli politik. Aku mencari pertamanya karakter dan kemudiannya kecekapan dalam perkara-perkara yang aku ingin memajukan diri. (Dan, ya, ada ahli-ahli politik yang layak).

Pergi makan tengahari dengan pemimpin-pemimpin lain - Aku biasanya mempunyai dua atau tiga kelompok pemimpin yang aku temui secara berkala. Mereka adalah rakan sebaya. Mereka berada di tahap yang serupa dalam kerjaya sebagai pemimpin. Ada di antara mereka pastor. Ada yang bukan. Kami belajar satu dengan lain. 

Sertai sebuah kelab kemasyarakatan - Aku bukan ahli sesebuah kelab, tetapi aku telah menghadiri dan berceramah di kelab seperti ini banyak kali. Begitupun, aku dari dahulu memang aktif dalam hal-hal kemasyarakatan. Kebanyakan masyarakat mempunyai program kepimpinan yang tersusun, seringkali melalui dewan perniagaannya. Terdapat prinsip-prinsip kepimpinan yang dapat kita perolehi sekiranya kita mencarinya dengan sungguh-sungguh.

Dapatkan maklumbalas daripada mereka yang anda pimpin - Aku pasti sekali bahawa orang-orang yang anda pimpin mempunyai cadangan. Mereka sering tidak akan menyebutkannya kecuali mereka diizinkan. Anda harus cukup berani... dan rendah hati... untuk bertanya.

Menilai keadaan semasa - Tidak ramai pemimpin berhenti sejenak untuk menilai keadaan semasa mereka. Apakah yang berkesan? Apa yang tidak? Apa yang perlu diubahsuai? Apa yang perlu diberhentikan?

Hemati kesilapan lama - Guru yang paling baik ialah pengalaman. Kemungkinan besar anda pernah mengalami situasi di waktu lepas yang Tuhan boleh gunakan untuk mempersiapkan anda untuk apa yang anda hadapi kini. Atau anda pernah melihat orang lain melakukan kesilapan. Ambil masa untuk menghemati dan mempelajari daripadanya.

Tuliskan beberapa matlamat - Aku sering takjub mendengar mengenai pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai matlamat dan objektif bertulis akan apa yang mereka sedang usahakan. Menuliskannya akan menjadikan perkara itu sebahagian daripada kesedaran kita. Anda kemungkinan besar akan lebih sering memikirkan matlamat-matlamat itu. Apabila hal itu berlaku, anda menjadi seperti magnet hidup untuk menerima idea-idea baru untuk mencapai matlamat-matlamat itu. Anda akan belajar sambil berjalan sebab anda sedang hidup dengan matlamat terkini dekat dalam ingatan anda.

Langgani beberapa blog kepemimpinan - Ramai orang yang memperkatakan mengenai kepemimpinan pada waktu kini. Adakah anda menyedari ini? Ambil bahagian. Beri perhatian. Menyumbang kepada diskusi. Anda akan belajar dalam perjalanan anda.

Apakah idea-idea anda untuk memajukan diri sebagai pemimpin?

(Diterjemah daripada artikel di laman Ron Edmondson bertajuk "10 Things You Can Do Today to Improve as a Leader" bertarikh 25 Julai 2013)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan