Sabtu, 31 Ogos 2013

7 Cara Aku Melindungi Hatiku dan Pelayananku Daripada Hubungan Luar Nikah




Oleh Ron Edmondson:

Kelihatannya seperti setiap hari kita akan mendengar tentang seorang lagi selebriti, ahli politik dan pastor ternama yang terjatuh ke dalam godaan nafsu dan terlibat dalam hubungan luar nikah. Aku fikir adalah berbahaya bagi seorang pemimpin membuat andaian bahawa hal ini tidak akan terjadi padanya. Bercakap sebagai seorang lelaki (aku tidak dapat bercakap sebagai seorang perempuan), aku sedar bahawa godaan itu sangat nyata. Apabila fikiran mula menghala ke arah nafsu, adalah sangat sukar untuk menguasainya. Aku percaya kegagalannya lebih kerap timbul kerana tidak melindungi hati dan pemikiran. Aku tahu bahawa aku mesti secara peribadi berusaha untuk melindungi diriku, isteriku, anak-anakku dan gerejaku daripada skandal dan kehilangan maruah akibat sebuah hubungan luar nikah.

Ada beberapa peraturan yang aku letakkan untuk melindungi hatiku:

Aku tidak akan bertemu seorang diri dengan seorang wanita selain daripada isteriku (dan ibuku). Aku selalu membawa orang lain bersama untuk pertemuan makan tengahari dan aku memastikan ada orang-orang lain di pejabat apabila aku bertemu dengan wanita. Juga, aku tidak akan melakukan senaman dengan wanita lain (jika anda memerlukan penjelasan, anda bukan seorang lelaki yang pernah ke gim di mana wanita bersenam dalam pakaian senaman mereka. Percayalah aku!) Aku sedar bahawa ini tidak popular hari ini tatkala lelaki dan wanita ingin mencari keserataan di tempat kerja. Secara jujur, setengah-setengah wanita tidak akan pernah memahami ini. Seorang wanita memberitahuku baru-baru ini bahawa aku "terlalu memandang tinggi diriku", tetapi keluargaku terlalu penting bagiku untuk tidak mengambil langkah keselamatan ini.

Aku berusaha tidak mengadakan perbualan yang terlalu peribadi atau intim dengan wanita. Aku sangat berhati-hati untuk tidak memberi pujian kepada seorang wanita mengenai keterampilannya, kecuali kalau aku rasa dia memerlukan kata dorongan dan suaminya atau isteriku turut terlibat dalam perbualan itu. Jika seorang wanita sedang menangis, aku berhati-hati untuk tidak memperpanjangkan perbualan. Apabila perasaan sedang dinyatakan sedemikian, manusia akan terdedah kepada kelemahan. Ada wanita-wanita lain di kalangan kakitangan gereja dan di gereja kami yang seupaya ataupun lebih berkebolehan daripadaku untuk mengendalikan perbualan seperti ini.

Apabila bercakap dengan sesuatu pasangan, aku menumpukan perhatian dan pandangan lebih kepada yang lelaki dan bukan isterinya. Bukannya aku tidak bercakap dengan si isteri, tetapi aku cuba menghalakan pandanganku lebih kepada yang lelaki. Ini adalah disiplin diri yang aku amalkan. Kadang-kadang aku melihat pasangan-pasangan dari gereja kami di tengah masyarakat dan seringkali aku tidak mengenal wanita itu sekiranya dia tidak bersama suaminya. Ini bukan kerana aku tidak mempedulikan wanita itu (atau kerana aku lebih suka melihat seorang lelaki!), tetapi ini adalah perlu untuk melindungi hatiku dan pemikiranku daripada tersalah haluan. (Pernahkah anda membaca 2 Samuel 11?)

Aku berusaha tidak memandang terus wanita. Apabila seorang wanita jelita menarik perhatianku, aku berusaha dengan cepat mengalihkan pandanganku ke arah lain. Ya aku menyedarinya apabila ada wanita jelita yang hadir... seringkali. Tuhan yang menciptakan wanita jelita. Aku tahu benar hatiku dan pemikiranku untuk tidak mengizinkan diriku untuk memandang terus. Percayalah aku,,, aku tidak boleh.

Aku meluangkan banyak masaku dengan isteriku. Pertahanan yang paling baik ialah tindakan yang bijak. Cara yang paling baik untuk melindungi hatiku ialah dengan menguatkan perkahwinanku. Aku dan Cheryl menghabiskan kebanyakan masa lapang kami bersama-sama.

Aku cuba selalu mengingati anak-anak lelakiku. Dua anak lelakiku adalah di antara kawan terbaikku, dan syukur, sehingga kini, mereka masih mempunyai hormat yang sangat tinggi terhadapku sebagai seorang bapa dan seorang lelaki. Aku tidak akan pernah ingin mengecewakan mereka dengan berlaku tidak setia kepada isteriku. 

Aku mengasihi gerejaku. Aku tidak pernah akan ingin merosakkan pekerjaan yang Tuhan sedang lakukan di Grace Community Church. Sekiranya aku tergoda melanggar perintah Tuhan dengan cara sedemikian, aku berharap cintaku untuk gereja akan menarik aku kembali. 

Adakah peraturan-peraturanku menyinggung perasaan anda? Apakah yang anda lakukan untuk melindungi hatimu?


Ron Edmonson
Ron Edmondson ialah pastor di Immanuel Baptist Church di Lexington, Kentucky di Amerika Syarikat. Dia juga adalah konsultan kepimpinan gereja yang memiliki minat terhadap perintisan gereja, membantu gereja-gereja yang sudah tertubuh untuk terus berkembang, membantu para pastor dan mereka dalam kepimpinan untuk memikir lebih jelas mengenai kepimpinan, strategi dan kehidupan. Sebelum pelayanan, Ron telah memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perniagaan, kebanyakanya sebagai pemilik perniagaan sendiri.

(Diterjemah daripada artikel laman Ron Edmondson bertajuk "7 Ways I Protect My Heart and Ministry From an Affair" bertarikh 4 Julai 2013)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan