Isnin, 23 September 2013

Mengapa Penting Memiliki Visi Pastor Senior Anda



Oleh David Santistevan:

Aku pernah mengatakan sebelum ini bahawa adalah penting memiliki visi pastor senior anda. Bukan saja ianya penting, ianya adalah sesuatu yang sangat perlu. Ada kecenderungan di antara kita yang menjadi pemimpin penyembahan dan yang bersifat kreatif untuk mengikuti nada dan rentak kita sendiri. Yang sebenarnya, anda tidak akan mencapai potensi sepenuh anda sebagai seorang pemimpin sehinggalah anda belajar untuk melayani visi orang lain.  

Setelah aku menamatkan pengajian di kolej dan diambil menjadi pastor penyembahan, aku tidak bersedia melayani visi orang lain. Kolej Alkitab tidak semestinya menyediakan anda untuk itu. Aku mempunyai impian dan cita-citaku. Namun hanya setelah aku benar-benar menundukkan diri kepada seorang pemimpin yang hebat dan bervisi, barulah aku bertumbuh dengan kadar yang tidak pernah dialami sebelumnya. 

Jikalau anda adalah kakitangan di sebuah gereja, anda perlu memiliki visi pastor senior anda dengan segenap kekuatan. Dan sekiranya anda tidak dapat, mungkin sudah tiba waktunya anda berpindah. Aku tahu ini kenyataan yang tegas. Aku tahu ianya akan kedengaran agak keras.

Tetapi aku percaya ianya penting dan inilah sebabnya;

1. Tuhan telah mengurapi pastormu sebagai pemimpin gerejamu

Fikirkan sejenak. Tuhan memanggil para pastor dan para pemimpin ke masyarakat tertentu untuk tujuan yang tertentu. Mereka mempunyai visi dari Tuhan untuk dilaksanakan. Ianya bukan hanya peranan anda untuk melayani visinya tetapi juga adalah tanggunjawab rohani anda. Ada sebabnya Tuhan tidak melantik 7 pemimpin yang sama tarafnya dalam sesebuah gereja. Tiada apapun dapat dilaksanakan. Akan berlaku perselisihan antara peribadi. Banyak kesan buruk terjadi apabila kakitangan gereja tidak mahu melaksanakan visi pastor senior. Sebagai seorang pemimpin penyembahan, jadikanlah matlamat anda melayani visi itu dengan segenap kekuatan dan hanya berkata baik mengenai pastor anda. Tuhan dipermuliakan dengan cara itu.

2. Tunduk kepada dan melayani visi orang lain akan membentuk kerendahan hati dan kematangan

Tatkala anda muda, anda berfikir bahawa anda tahu segala-galanya. Menundukkan diri adalah perkara yang paling jauh dari fikiran anda. Anda memiliki impian dan anda ingin mengejar impian-impian itu. Aku berfikir bahawa Tuhan secara strategik menempatkan pemimpin-pemimpin muda dalam kedudukan di mana mereka belajar menundukkan diri. Ianya benar-benar menyediakan anda untuk apa yang Dia ingin anda lakukan. Apabila anda menundukkan diri dan melayani visi orang lain, anda akan memperoleh pandangan yang lebih tepat mengenai diri anda dan kelemahan anda. Anda belajar menghormati. Anda belajar untuk melakukan untuk orang lain daripada memikirkan kepentingan diri. Melayani visi pastor anda akan mempersiapkan anda untuk masa depan di mana anda mungkin menjadi pemimpin yang utama. Tetapi sebelum itu, layani dengan kerendahan hati, dan layani dengan baik.

3. Pelayanan Terhindar Tanpanya

Apabila anda mencuba dan mengetepikan visi pastor anda dengan melakukan hal anda sendiri, pelayanan terhindar kerana kurang tumpuan yang diberikan. Seorang pastor yang baik akan meminta maklum balas anda mengenai sesuatu perkara, tetapi sekali visi gereja sudah ditubuhkan, janganlah menggantikannya dengan hal-hal anda sendiri. Anda mungkin berfikir cara anda lebih baik, tetapi sebenarnya ia bukan. Pilihan yang lebih baik ialah mencurahkan dirimu segenap hati dalam visi itu dan pimpinlah pelayanan anda untuk melakukan yang sama.

Tuhan mahu memakai anda pada masa depan dengan cara-cara yang tidak dapat dilihat pada ketika ini. Melayani dengan baik ketika ini, di manapun anda berada, adalah titik permulaan yang baik ke arah itu.

Soalan: Pernahkah anda melihat bagaimana perkara ini mula digenapi dalam hidup anda? Atau bagaimanakah anda dapat memperbaiki diri?

(Diterjemah daripada artikel laman David Santistevan bertajuk, "Why Owning Your Senior Pastor's Vision Is So Important")


Pastor David Santistevan melayani sebagai pastor penyembahan di Allison Park Church di Pittsburg, Pennsylvania, Amerika Syarikat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan