Rabu, 13 November 2013

5 Perkara Yang Anda Ingin Cari Pada Seorang Pastor


Oleh Jim Daly:

Bulan Oktober ialah Bulan Penghargaan Pastor, waktu bila orang-orang Kristian digalakkan untuk mengucapkan penghargaan bagi pastor-pastor dan pemimpin-pemimpin.

Tetapi topik ini menimbulkan pula satu soalan:

Apakah yang menjadikan seorang pastor itu seorang pemimpin yang anda boleh yakini serta ikuti dan akhirnya menghargai, bukan saja setiap Oktober, tetapi juga sebelas bulan yang lain dalam setahun.

Aku percaya kita semua mempunyai senarai ciri-ciri yang “mesti ada.” Aku telah menyediakan senarai lima perkara (berdasarkan Alkitab dari Titus dan 1 Timotius 3) yang aku fikir orang-orang Kristian ingin cari dalam seorang pastor. Aku rasa diberkati  kerana pastor-pastor yang telah mengajariku sejak dari dulu semuanya memiliki ciri-ciri ini.

1. Mengajar Firman dengan berani

Menjadi seorang pembicara yang baik itu penting, tetapi jauh lebih penting dari itu, seorang pastor yang baik sangat prihatin untuk mengajarkan jemaatnya doktrin (ajaran asas) yang kukuh.  Dia mengajarkan “seluruh Firman” – ertinya dia tidak mengelakkan daripada mengajar ayat-ayat Alkitab yang sukar atau tidak popular. Komitmennya kepada kebenaran sangatlah nyata.

2. Melayani orang

Mengasihi dan menjaga orang – samada yang sudah diselamatkan atau belum – adalah tanda seorang pastor yang baik. Pastor akan menjangkau orang-orang yang masih sesat, dan menjaga kawanan domba di gerejanya. Keprihatinan ini jelas kelihatan dalam layanan baiknya terhadap orang lain dan tugasnya sebagai pendamai.

3. Memimpin dengan kekuatan dan kerendahan hati

Setiap pastor akan selalu menghadapi cabaran-cabaran dalam melaksanakan peranannya.  Adalah penting pada waktu-waktu seperti itu, dia memimpin dengan kekuatan, hikmat dan keberanian. Dia juga harus menunjukkan kerendahan hati seperti yang ditunjukkan Yesus.

4. Hidup benar dalam hidup peribadinya

Kebolehan seorang pastor untuk memimpin bermula dengan dirnya sendiri – dia perlu menjadi seorang peribadi yang memiliki integriti “yang tidak bercela.” Ini termasuk semua aspek – boleh diamanahkan dengan wang, bebas daripada tabiat buruk seperti kemabukan dan tidak cepat pemarah. Ringkasnya seorang pastor yang baik menjalani hidup yang kudus dan berdisiplin.

5. Seorang yang mengamalkan kehidupan keluarga yang baik

Jika sudah berkahwin, seorang pastor harus menjadi suami yang setia dan seorang bapa yang berkesan. Meskipun di tengah-tengah semua tuntutan dari gereja ke atasnya, dia masih harus memberi keutamaan kepada isteri dan anak-anaknya. 

Apakah yang anda akan tambah ke senarai ini?


(Diterjemah daripada artikel The Christian Post bertajuk "5 things to Look for in a Pastor" penulisan Jim Daly bertarikh 11 Oktober 2013)

Jim Daly adalah presiden Focus on the Family, Amerika Syarikat dan pengacara untuk siaran harian pertubuhan itu, National Radio Hall of Fame yang didengar oleh 2.9 juta pendengar seminggu melalui lebih 1,000 stesen radio di sekitar Amerika Syarikat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan