Isnin, 2 Disember 2013

3 Ketika Penting Untuk Menghadapi Dan Menegur Dosa Di Gereja Anda




Oleh Brady Boyd:

Seorang lelaki di gereja kami datang kepadaku dengan hati yang sugul baru-baru ini. Anak perempuannya berumahtangga dengan seorang lelaki yang baru-baru ini kedapatan berzina. Pasangan itu menghadiri gereja lain di kota ini, dan ayah itu menghubungi pastor mereka agar dia boleh menegur menantunya akan dosanya yang ketara ini. Pastor itu enggan, dan tidak melihatnya sebagai tugasnya. Apa? Bukan tugasnya? Kalau kita benar-benar adalah pastor, ianya sebenarnya satu daripada tanggungjawab utama kita, terutamanya bila kita mengasihi orang-orang yang kita pimpin.

Tidak menghairankan, semakin lama semakin kurang pemimpin-pemimpin gereja yang rela pergi kepada orang-orang yang hidup dalam dosa secara terbuka dan menegur mereka. Kenapa? Adakah kita kekurangan dalam keberanian? Adakah kita mengabaikan mandat alkitabiah sebagai pemimpin untuk melindungi orang-orang yang yang tidak bersalah daripada orang-orang yang membawa kemudaratan?

Banyak kali dalam perananku sebagai sebagai pastor dan penatua, aku perlu mengadakan pertemuan-pertemuan yang rumit dengan orang-orang di gereja. Aku tidak suka mengadakan pertemuan seperti itu, dan tentunya tidak bersuka akan perkara itu, tetapi ianya amat diperlukan supaya gereja tetap dalam keadaan yang sihat. Sesungguhnya, beberapa kemajuan besar yang aku alami sebagai pemimpin berlaku selepas aku mengendalikan hal-hal dosa secara alkitabiah. Tuhan selalu menyatakan Diri-Nya di gereja-gereja di mana ada pertaubatan, kasih karunia dan kesihatan rohani.

Aku percaya bahawa penatua dan pastor mempunyai tanggungjawab untuk berhadapan dan menegur orang dengan kasih karunia, terutamanya dalam tiga perkara penting ini;

1. Melakukan Dosa Tanpa Malu

"Tetapi yang kutuliskan kepada kamu ialah, supaya kamu jangan bergaul dengan orang, yang sekalipun menyebut dirinya saudara, adalah orang cabul, kikir, penyembah berhala, pemfitnah, pemabuk atau penipu; dengan orang yang demikian janganlah kamu sekali-kali makan bersama-sama. Sebab dengan wewenang apakah aku menghakimi mereka, yang berada di luar jemaat? Bukankah kamu hanya menghakimi mereka yang berada di dalam jemaat? Mereka yang berada di luar jemaat akan dihakimi Allah. Usirlah orang yang melakukan kejahatan dari tengah-tengah kamu." (1 Korintus 15:11-13)

Paulus memperkatakan tentang orang-orang yang menyedari pelanggaran mereka tetapi enggan bertaubat dan mengubah perbuatan mereka. Nyata sekali, Paulus bukan memperkatakan mengenai kesempurnaan moral, tetapi dia mencabar kita untuk menghadapi dan menegur orang supaya mereka boleh berpaling daripada perkara-perkara yang boleh memusnahkan hidup mereka. Perhatikan juga, bahawa Paulus bukan mengatakan mengenai menegur orang-orang yang belum percaya Kristus yang datang ke gereja untuk mengetahui lebih mengenai Tuhan. Kita mesti mengasihi mereka dan menunjukkan kasih karunia tentunya. Paulus sedang memperkatakan mengenai orang-orang yang mengakui diri mereka Kristian tetapi dengan sengaja melakukan tipu daya.

2. Perbuatan Memecah-Belahkan

Berikanlah amaran kepada orang yang menyebabkan pepecahan dalam jemaah. Nasihatilah orang itu sekurang-kurangnya dua kali, setelah itu jauhilah dia. (Titus 3:10, BM)

Tiada perkara lain yang lebih mengundang pekerjaan Roh Kudus dalam gereja selain kesatuan. Itulah sebabnya amat penting untuk mempertahankannya. Perpecahan berlaku apabila orang lebih mementingkan memenangi suatu pergaduhan daripada membina persahabatan. Orang-orang yang membawa perpecahan tidak mahu mengadakan perdebatan yang jujur atau kemungkinan diterangi oleh informasi baru; mereka mahu menang saja dengan apa carapun. Orang-orang yang membawa perpecahan adalah yang paling sukar ditegur kerana mereka biasanya suka perdebatan yang dipenuhi kemarahan, tetapi kita masih perlu pergi kepada mereka untuk kepentingan dan kesihatan jemaat.

3. Pengajaran Palsu atau Sesat

"Aku ingin engkau tinggal di Efesus sebagaimana aku tekankan pada waktu aku pergi ke Makedonia. Beberapa orang di Efesus sedang menyebarkan ajaran sesat, dan engkau harus menyuruh mereka berhenti mengajarkannya. Suruhlah mereka berhenti mengajarkan dongeng dan senarai nenek moyang yang sangat panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak berguna bagi rancangan Allah yang dapat diketahui melalui kepercayaan kepada-Nya." (1 Timotius 1:3-4, BM)

Aku ingat sewaktu aku melayani di Gateway Church, pada waktu awal kewujudannya apabila hanya beberapa ratus orang yang menghadirinya, satu pasangan muda meminta untuk bertemu denganku. Kami sedang duduk di sebuah Restoran I-Hop dan mereka memberitahu aku bahawa mereka tidak percaya kepada kelahiran ajaib oleh anak dara (Maria), tetapi mereka masih mahu memimpin salah satu kelompok kecil kami. Aku memberitahu mereka dengan sebaik mungkin bahawa mereka tentu saja boleh datang menghadiri, tetapi mereka tidak boleh memimpin atau mempengaruhi orang lain apabila mereka memiliki doktrin seperti itu. Selepas itu aku tidak pernah melihat mereka lagi, dan itu adalah sesuatu yang mengecewakan, tetapi aku juga bersyukur bahawa kawanan domba yang aku telah ditugaskan untuk melindungi dapat mendengar ajaran yang betul daripada ketua-ketua kumpulan.

Sebagai seorang pastor, aku dapat mengambil bahagian dalam banyak acara menarik seperti pernikahan, penyerahan bayi, khutbah Ahad, memimpin di meja Perjamuan Kudus dan menyanyi bersama dalam penyembahan berkeluarga. Bagaimanapun, gembala bukan hanya bertugas memimpin domba-domba ke air yang tenang tetapi juga melindungi mereka daripada serigala apabila perlu. Ianya bukan sesuatu yang enak atau menyenangkan, tetapi ianya adalah mandat yang jelas daripada Gembala Agung, tanpa ragu-ragu lagi.

(Diterjemahkan daripada artikel Outreach Magazine bertajuk "3 Urgent Times to Confront Sin in Your Church" penulisan Brady Boyd bertarikh 4 November 2013)

Brady Boyd ialah Senior Pastor New Life Church di Colorado Springs, Colorado, Amerika Syarikat. Dia telah mendirikan rumahtangga dengan teman sekolejnya, Pam dan ayah kepada anak-anak yang hebat bernama Abram dan Callie. Dia baru menuliskan sebuah buku berjudul "Fear No Evil" dan dia benar-benar serius mengambil berat tentang orang-orang Colorado Springs dengan membuka banyak Dream Centre.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan